February 12, 2012

ISMEP 2012 Zon Utara Siri 2 mencapai sasaran



IPOH, 11 Februari 2012- Sekretariat Antarabangsa ISMA sekali lagi telah berjaya menganjurkan Siri Kedua Islamic Studies of Middle East Programme ISMEP 2012 Zon Utara. Seminar ini telah diadakan di Dewan Kuliah Masjid Sultan Azlan Shah, Ipoh, Perak Darul Ridzuan.

Dengan mengekalkan tema yang sama iaitu “Panduan Hukama’ Bekalan Baka lUlama”, seminar ini berjaya menarik penyertaan peserta seramai 63 orang. Rata-rata peserta terdiri daripada pelajar Akademi Ikatan Muslimin (AIM), Kolej Islam Darul Ridzuan (KISDAR), Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Azlan Shah, Bota dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Kerian. Lain-lain peserta majoritinya menetap di Perak.

Seawal jam 8.10 pagi, kelihatan beberapa peserta sudah mula mendaftar di meja pendaftaran. Pada jam 9.00 pagi, seminar telah dimulakan dengan alunan ayat suci Al-Quran oleh adik Miqdad Bin Fadzlan Shahidi dan terjemahan oleh Adik Ahmad Muktaz Bin Abdul Halim. Seminar yang dipengerusikan oleh Akh Mohamad Fadhil Bin Yahya, diteruskan dengan ucapan oleh Pengarah ISMEP 2012 Zon Utara, Akh Mohamad Azzam Anwar Bin Mohamad Mathurudi. Seminar telah berhenti rehat pada jam 9.45 pagi untuk sesi kudapan dan sesi taaruf dalam kalangan peserta ikhwah dan akhawat.

Slot pertama “Lughah Al-Azhar” telah dimulakan pada jam 10.30 pagi, bersama Al-Fadhil Ustaz Mohd. Najib Bin Sadli, pensyarah AIM yang telah berpengalaman dalam mengajar Sijil Tinggi Agama Malaysia sejak dari tahun 2005 lagi. Ustaz Najib menekankan bahawa bidang Lughah bukanlah bidang yang kurang glamour, bahkan bidang ini sendiri telah melahirkan ramai tokoh-tokoh agama di Malaysia, ujarnya semalam. Pengarah ISMEP 2012 Zon Utara, Akh Azzam Anwar telah memberikan sedikit penghargaan daripada pihak penganjur kepada Ustaz Najib, sekaligus menandakan berakhirnya slot pertama seminar kali ini.

Sebelum slot seterusnya dimulakan, para peserta telah dihidangkan dengan beberapa tayangan multimedia berkaitan tentang aktiviti ISMA Jordan yang diadakan saban tahun. Sekitar jam 12.00 tengahari, slot kedua bertajuk “Antara Ijazah Dan Risalah” oleh Al-Fadhil Ustaz Zolkifli Bin Ismail, Penegtua Akademi Ikatan Musimin. Ustaz Zolkifli menerangkan bahawa, dengan segulung ijazah yang diterima, bersamanya datang sebuah tanggungjawab yang perlu digalas sebagai Ustaz dan Ustazah yang akan mendaulatkan Islam di muka bumi ini. Sebagai tanda terima kasih, Ukht Abiidah Bt. Fadzlan Shahidi selaku Timbalan Pengarah ISMEP 2012 Zon Utara telah menyampaikan sebuah cenderahati kepada Ustaz Zolkifli.

Seminar sekali lagi berhenti rehat pada jam 1.30 petang, untuk memberi laluan pada peserta untuk berehat, makan tengahari dan solat Zohor. Kira-kira pada jam 2.30 petang, seminar diteruskan dengan sesi latihan dalam kumpulan LDK, yang telah dikendalikan oleh Akh Abdul Aziz Bin Zamri. Beberapa game menarik telah diadakan, untuk menghilangkan kepenatan yang jelas terpancar pada wajah para peserta ISMEP 2012 Zon Utara Siri 2 ini.

Acara kemuncak tiba akhirnya, iaitu sesi lintas langsung bersama mahasiswa dari Universiti Yarmouk, Irbid, Jordan. Forum perkongsian pengalaman ini dilakukan secara langsung bersama beberapa pelajar Malaysia di sana, yang diepngerusikan oleh Akh Ammar Bin Roslan, pelajar Ekonomi dan Perbankan Islam Universiti Yarmouk. Panel dalam forum lintas langsung ini adalah Ustaz Hanis Zakwan Bin Zainal Abidin, pelajar jurusan Fiqh dan Usul Unviersiti Yarmouk dan Ustazah Zahra’ Bt Zainurashid pelajar jurusan Universiti Usuluddin Universiti Yarmouk. Dengan bantuan team teknikal yang tangkas dan berkesan, sesi lintas langsung berjalan lancar walaupun terputus sebanyak tiga kali semasa forum sedang dijalankan.

Di penghujung seminar, peserta didedahkan tentang Pakej MUMTAZ di bawah seliaan Sekretariat Antarabangsa ISMA oleh Akh Amar Ismat Bin Mohd. Nasir, Setiausaha ISMEP 2012 Zon Utara. Sesi fotografi juga diadakan sebagai kenangan seminar pada peserta. Seminar diakhiri dengan bacaan doa penutup oleh Akh Azzam Anwar dan sedikit santapan sebelum pulang.

Panduan Hukama’ Bekalan Bakal Ulama’

Yang benar,

Amar Ismat Bin Mohd. Nasir

Setiausaha ISMEP 2012 Zon Utara

Sekretariat Antarabangsa ISMA.

February 2, 2012

ISMEP SIRI ke 2

ISMEP SIRI Ke-2 akan berlangsung pada 11 Februari 2012. Jangan lepaskan peluang. Menuju martabat ulama'. Ummah memerlukan kita.




Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More