January 17, 2010

KELAS PRA AZHAR ZON TENGAH SIRI 1




17 Januari, Shah Alam – Kelas Pra-Azhar anjuran Sekretariat Luar Negara ISMA yang telah dimulakan sejak tahun 2008 telah berjaya diadakan baru-baru ini untuk sesi tahun 2010, bertempat di Dewan Masjid Ubudiyah, Seksyen 19, Shah Alam. Ia merupakan siri pertama dari empat siri yang bakal diadakan oleh pihak penganjur sepanjang sesi tahun 2010 ini.

Kelas ini telah berjaya mengumpulkan seramai 51 orang peserta dari seluruh negara. Kebanyakan mereka merupakan graduan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) yang bersedia melanjutkan pengajian ke Universiti Al-Azhar, Mesir.

Sekitar jam 9.30 pagi, kelas telah dimulakan dengan bacaan ayat suci Al-Quran oleh wakil peserta, Sdr. Syed Salahuddin. Kemudian kelas telah dirasmikan oleh wakil Sekretariat Luar Negara ISMA, Ustaz Ahmad Ala’uddin bin Kamal, selaku wakil pihak penganjur. Beliau amat berbesar hati dengan kehadiran para peserta yang sanggup datang walaupun berasal dari negeri-negeri yang jauh.

Selepas itu, kelas yang telah dipengerusikan oleh Ustaz Mus’ab bin Norkefli diteruskan dengan 3 slot utama yang mengenengahkan sistem pembelajaran bidang-bidang utama di Universiti Al-Azhar iaitu Kuliyah Syariah Islamiah oleh Ustaz Salman bin Abdul Rahman, Kuliah Usuluddin oleh Ustaz Sanusi bin Azmi, dan juga Kuliah Lughah oleh Ustaz Jauhar bin Azmi. Menariknya, ketiga-tiga penceramah tersebut baru sahaja menamatkan pengajian masing-masing di Universiti Al-Azhar. Ini memberi peluang kepada para peserta untuk mengenali lebih dekat budaya dan suasana pengajian ilmu di sana. Para peserta juga diberikan nota ala-ala kitab silibus Al-Azhar dan diajar cara-cara untuk mendalami dan membacanya.

Para peserta telah memberikan fokus yang penuh sepanjang program dijalankan dan berpuas hati dengan pendedahan-pendedahan yang diberikan oleh para penceramah. Mereka juga diberi peluang untuk berbincang lebih bersama para penceramah tentang subjek ilmu pada sesi rehat dan makan.

Sebelum berakhir, pihak penganjur telah mengadakan sesi diskusi pilihan pengajian ilmu di Timur Tengah bersama para peserta. Di sini ditekankan juga beberapa kelebihan tabiat ilmu di Universiti Al-Azhar berbanding di tempat-tempat lain. Selepas itu, para peserta telah menerima CD Kelas Pra-Azhar sebagai cenderahati daripada pihak penganjur. Kelas berakhir selepas waktu solat asar.

SEKRETARIAT ANTARABANGSA ISMA


Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More