March 25, 2012

ISMEP 2012 Siri 3 berjaya!!!

GOPENG, 24 Mac 2012- Islamic Studies of Middle East Programme 2012 Siri Ketiga anjuran Sekretariat Antarabangsa  ISMA  telah diadakan dengan jayanya semalam. ISMEP 2012 Siri 3 kali ini diadakan di Sungai Jahang, Gopeng, Perak.
ISMEP 202 Siri 3 kali ini hadir dengan tema sama seperti siri-siri yang lalu, iaitu ‘Panduan Hukama’ Bekalan Bakal Ulama’”. Walaupun begitu, pendekatan kali ini berbeza dengan siri lalu, yang lebih berbentuk aktiviti outdoor seperti mandi sungai, BBQ dan riadhah. Pendekatan ini berjaya menarik seramai 40 orang peserta, rata-rata yang datang pada kali ini adalah bekas peserta ISMEP 2012 siri-siri yang lalu. Majoriti peserta adalah dari Akademi Ikatan Muslimin (AIM), SMKA Maahad Al-Mizan, Kuala Kangsar, Kolej Islam Darul Ridzuan (KISDAR) dan SMK Raja Chulan, Ipoh.
Wakil SEKTAR ISMA, Ust Ala'uddin Kamal memberi ucapan perasmian

Seawal jam 7.40 pagi, sudah kelihatan beberapa peserta tiba di meja pendaftaran untuk mendaftarkan diri. Program bermula di AIM Kampus Ipoh. Pada jam 9.20 pagi, majlis yang dipengerusikan oleh Akh Muhammad Hanafi Bin Muidnuddin ini telah dimulakan dengan alunan ayat suci Al-Quran yang dibacakan oleh Saudara Muhammad Uzair Bin Yusof, pelajar AIM sesi 2012. Majlis diteruskan dengan ucapan Akh Muhammad Zabidi Bin Azhar selaku Pengarah ISMEP 3. Akh Zabidi menerangkan serba sedikit objektif dianjurkan program ini dan beberapa hal yang berkaitan.
Kemudian, wakil daripada Sekretariat Antarabangsa ISMA (SEKTAR ISMA), Ust Ala’uddin Kamal telah memberikan sedikit ucapan lantas merasmikan ISMEP 3 yang menggabungkan semua peserta ISMEP siri yang lepas ini tentang tujuan asal peserta melanjutkan pengajian dalam bidang agama, dan memastikan keberadaan peserta di timur tengah selama beberapa tahun itu tidak sia-sia. Al-Fadhil Ust juga berpesan supaya bersiap-sedia dari sudut fizikal dan mental untuk berada di bumi anbiya’ yang sinonim dengan perjuangan.
Majlis diteruskan dengan nyanyian lagu Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) dan tayangan video promosi program pre-departure anjuran SEKTAR ISMA, iaitu Selangkah Ke Bumi Anbiya (SKBA) yang akan diadakan pada hujung April ini. Acara Ice-Breaking yang dikendalikan oleh Akh Ahmad Nawal Bin Mazlan bagi peserta ikhwah dan Ukht Husna Bt. Abdul Halim bagi peserta akhawat  telah berjaya menggamitkan suasana program yang agak suram ketika awalnya.
Peserta ikhwah sedang membakar BBQ
Seterusnya, para peserta telah menaiki bas persiaran menuju ke destinasi program yang seterusnya iaitu di Sungai Jahang, Gopeng, Perak. Walaupun ada beberapa kesulitan yang timbul semasa perjalanan, namun akhirnya semua peserta dapat tiba di destinasi program sekitar jam 12.15 tengahari. Peserta ikhwah telah menyalakan api untuk BBQ, manakala peserta akhawat telah melakukan aktiviti di dalam sungai. Kemudian ada penggiliran berlaku, peserta ikhwah pula beraktiviti di dalam sungai dan peserta akhwat menyediakan makanan.
Sekitar jam 3.30 petang, setelah semua peserta selesai khidmat diri, makan dan menunaikan solat fardhu Zohor berjemaah, peserta disajikan pula dengan sebuah slot perkongsian pengalaman oleh Al-Fadhil Ust Agus Lokman Bin Sulam,  Pengetua SMAR Maahad Al-Islah, Teluk Intan dan Setiausaha Agung Pertubuhan Pendokong Sekolah Agama Rakyat (PPSR) Perak. Ust Agus, graduan Universiti Al-Azhar, Mesir telah berkongsi pengalaman manis dan pahit merantau di bumi anbiya’, di samping beberapa tips berkenaan cara hidup dan belajar di sana.
Di penghujung program, wakil SEKTAR ISMA, Ust Ala’uddin sekali lagi telah memberikan ucapan untuk perincian ringks tentang pakej MUMTAZ di bawah seliaan SEKTAR ISMA dan program SKBA yang akan dilangsungkan pada 27-29 April 2012 di Nur Laman Unggul, Sepang, Selangor. Majlis diakhiri dengan sedikit upacara penyampaian hadiah, sesi fotografi dan bacaan doa oleh Akh Ahmad Nawal.


Jumpa lagi semua, di SKBA nanti!!!

Panduan Hukama’ Bekalam Bakal Ulama’

Disediakan oleh,
Amar Ismat Mohd. Nasir,
Setiausaha ISMEP 2012 Siri 3,
Sekretariat Antarabangsa ISMA.



February 12, 2012

ISMEP 2012 Zon Utara Siri 2 mencapai sasaran



IPOH, 11 Februari 2012- Sekretariat Antarabangsa ISMA sekali lagi telah berjaya menganjurkan Siri Kedua Islamic Studies of Middle East Programme ISMEP 2012 Zon Utara. Seminar ini telah diadakan di Dewan Kuliah Masjid Sultan Azlan Shah, Ipoh, Perak Darul Ridzuan.

Dengan mengekalkan tema yang sama iaitu “Panduan Hukama’ Bekalan Baka lUlama”, seminar ini berjaya menarik penyertaan peserta seramai 63 orang. Rata-rata peserta terdiri daripada pelajar Akademi Ikatan Muslimin (AIM), Kolej Islam Darul Ridzuan (KISDAR), Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Azlan Shah, Bota dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Kerian. Lain-lain peserta majoritinya menetap di Perak.

Seawal jam 8.10 pagi, kelihatan beberapa peserta sudah mula mendaftar di meja pendaftaran. Pada jam 9.00 pagi, seminar telah dimulakan dengan alunan ayat suci Al-Quran oleh adik Miqdad Bin Fadzlan Shahidi dan terjemahan oleh Adik Ahmad Muktaz Bin Abdul Halim. Seminar yang dipengerusikan oleh Akh Mohamad Fadhil Bin Yahya, diteruskan dengan ucapan oleh Pengarah ISMEP 2012 Zon Utara, Akh Mohamad Azzam Anwar Bin Mohamad Mathurudi. Seminar telah berhenti rehat pada jam 9.45 pagi untuk sesi kudapan dan sesi taaruf dalam kalangan peserta ikhwah dan akhawat.

Slot pertama “Lughah Al-Azhar” telah dimulakan pada jam 10.30 pagi, bersama Al-Fadhil Ustaz Mohd. Najib Bin Sadli, pensyarah AIM yang telah berpengalaman dalam mengajar Sijil Tinggi Agama Malaysia sejak dari tahun 2005 lagi. Ustaz Najib menekankan bahawa bidang Lughah bukanlah bidang yang kurang glamour, bahkan bidang ini sendiri telah melahirkan ramai tokoh-tokoh agama di Malaysia, ujarnya semalam. Pengarah ISMEP 2012 Zon Utara, Akh Azzam Anwar telah memberikan sedikit penghargaan daripada pihak penganjur kepada Ustaz Najib, sekaligus menandakan berakhirnya slot pertama seminar kali ini.

Sebelum slot seterusnya dimulakan, para peserta telah dihidangkan dengan beberapa tayangan multimedia berkaitan tentang aktiviti ISMA Jordan yang diadakan saban tahun. Sekitar jam 12.00 tengahari, slot kedua bertajuk “Antara Ijazah Dan Risalah” oleh Al-Fadhil Ustaz Zolkifli Bin Ismail, Penegtua Akademi Ikatan Musimin. Ustaz Zolkifli menerangkan bahawa, dengan segulung ijazah yang diterima, bersamanya datang sebuah tanggungjawab yang perlu digalas sebagai Ustaz dan Ustazah yang akan mendaulatkan Islam di muka bumi ini. Sebagai tanda terima kasih, Ukht Abiidah Bt. Fadzlan Shahidi selaku Timbalan Pengarah ISMEP 2012 Zon Utara telah menyampaikan sebuah cenderahati kepada Ustaz Zolkifli.

Seminar sekali lagi berhenti rehat pada jam 1.30 petang, untuk memberi laluan pada peserta untuk berehat, makan tengahari dan solat Zohor. Kira-kira pada jam 2.30 petang, seminar diteruskan dengan sesi latihan dalam kumpulan LDK, yang telah dikendalikan oleh Akh Abdul Aziz Bin Zamri. Beberapa game menarik telah diadakan, untuk menghilangkan kepenatan yang jelas terpancar pada wajah para peserta ISMEP 2012 Zon Utara Siri 2 ini.

Acara kemuncak tiba akhirnya, iaitu sesi lintas langsung bersama mahasiswa dari Universiti Yarmouk, Irbid, Jordan. Forum perkongsian pengalaman ini dilakukan secara langsung bersama beberapa pelajar Malaysia di sana, yang diepngerusikan oleh Akh Ammar Bin Roslan, pelajar Ekonomi dan Perbankan Islam Universiti Yarmouk. Panel dalam forum lintas langsung ini adalah Ustaz Hanis Zakwan Bin Zainal Abidin, pelajar jurusan Fiqh dan Usul Unviersiti Yarmouk dan Ustazah Zahra’ Bt Zainurashid pelajar jurusan Universiti Usuluddin Universiti Yarmouk. Dengan bantuan team teknikal yang tangkas dan berkesan, sesi lintas langsung berjalan lancar walaupun terputus sebanyak tiga kali semasa forum sedang dijalankan.

Di penghujung seminar, peserta didedahkan tentang Pakej MUMTAZ di bawah seliaan Sekretariat Antarabangsa ISMA oleh Akh Amar Ismat Bin Mohd. Nasir, Setiausaha ISMEP 2012 Zon Utara. Sesi fotografi juga diadakan sebagai kenangan seminar pada peserta. Seminar diakhiri dengan bacaan doa penutup oleh Akh Azzam Anwar dan sedikit santapan sebelum pulang.

Panduan Hukama’ Bekalan Bakal Ulama’

Yang benar,

Amar Ismat Bin Mohd. Nasir

Setiausaha ISMEP 2012 Zon Utara

Sekretariat Antarabangsa ISMA.

February 2, 2012

ISMEP SIRI ke 2

ISMEP SIRI Ke-2 akan berlangsung pada 11 Februari 2012. Jangan lepaskan peluang. Menuju martabat ulama'. Ummah memerlukan kita.



January 20, 2012

Antara Aliran Agama Dan Sains




Kelebihan Al-Azhar ialah pada Bahasa Arabnya, ulamaknya, kedudukannya dalam negara Mesir dengan segala kelebihan yang ada pada tabiat negara dan masyarakatnya, lebih-lebih lagi dakwah Ikhwan Muslimin lahir dan bertapak teguh dalam jiwa pendokong-pendokongnya dan dihati masyarakat Mesir amnya, yang sukar didapati dinegara-negara lain, termasuk di Negara-negara Arab. Adapun subjek yang diajar, ia hampir sama dimana-mana universiti lain.
Saban tahun, apabila datang tawaran tempat-tempat pengajian tinggi kepada anak-anak, saya sering menilai diantara harapan anak-anak dan sikap ayah ibu masing-masing terutama mereka yang saya kenali didalam Jalan Dakwah ini. Kekadang saya juga beranggapan sikap ayah dan ibu terhadap jenis pengajian anak-anak mereka merupakan salah satu indikator (petunjuk) yang lebih tepat untuk saya memahami dan menilai ibu bapa itu sendiri dengan cara sebenarnya, melalui pendirian amali mereka, bukan melalui percakapan mereka.
Saya sekeluarga berhari Raya beberapa hari lalu di Pusat Matrikulasi Al-Azhar, Madrasah An-Nahdhah, Bukit Besar, Kota Sarang Semut, Kedah. Disebelah kiri saya, mudir/pengetua madrasah, Ustaz Nasir Othman, yang menerima kemasukkan saya pada tahun 1988 “secara kasihan dan kepercayaan”, sebaik pulang tamat dari Asutralia, walaupun saya tidak mempunyai asas Bahasa Arab sedikitpun. Kesemua buku teks 21 subjek, kertas peperiksaan dan jawapan adalah dalam Bahasa Arab. Alhamdulillah dalam peperiksaan akhir tahun, saya mendapat tempat 2 dari kira-kira 100 pelajar dengan purata markah 92%.
Rumah tempat saya, isteri dan anak sulung, Uswah, 1 tahun, tinggal ketika saya belajar di Madrasah An-Nahdhah (Matrikulasi Al-Azhar) tahun 1989. Ketika itu tidak ada bilik di tingkat bawah, hanya tidur diatas lantai kayu dan berkongsi bilik air awam (air dibawa dalam tin Milo besar dari rumah sendiri). Hidup setahun dalam suasana seperti ini, sebaik pulang dari Australia, banyak mengajar saya erti hidup di Aliran Agama, memahami sebahagian masyarakat yang wujud di Malaysia dan memberi sedikit sebanyak garis panduan kehidupan di masadepan.

Secara umum dan ringkasnya, apa yang saya perhatikan didalam masyarakat Melayu di Malaysia dalam hal ini terbahagi kepada beberapa jenis, dan mereka yang terlibat didalam Dakwah pun, sebagai salah sebahagian dari masyarakat, tidak terlepas dari beberapa jenis ini. Ada 4 jenis yang menarik perhatian saya :
Golongan Pertama berlatarbelakang Aliran Sains, yang mendengar tentang Aliran Agama dari jauh sahaja dan mahukan anak-anak mereka terus didalam Aliran Sains bersesuaian dengan arus perdana dalam negara dan masadepan kawangan yang lebih cerah. Mereka merasakan adalah memadai subjek-subjek agama yang dipelajari di sekolah-sekolah serta ceramah-ceramah agama di masjid dan surau. Pada kumpulan Dakwah, adalah memadai anak-anak mereka mengikuti usrah dan wasilah-wasilah tarbiyah didalam jemaah.
Golongan Kedua berlatarbelakang Aliran Agama, yang mengetahui Aliran Sains sebagai arus perdana dalam masyarakat di Malaysia dan dunia, tetapi mereka mahukan anak-anak mereka terus berada didalam Aliran Agama terutama disebabkan kepentingan Bahasa Arab, keperluan masyarakat, masadepan akhlak yang lebih terjamin dan menyerahkan masadepan kewangan kepada Takdir.
Golongan Ketiga berlatarbelakang Aliran Sains, yang pernah hidup dan melalui sendiri akan kelebihan dan kelemahan aliran berkenaan, lalu mahukan anak-anak mereka berada didalam Aliran Agama, tidak seperti mereka.
Golongan Keempat berlatarbelakang Aliran Agama, yang pernah hidup dan melalui sendiri aliran berkenaan, lalu tidak mahu anak-anak mereka seperti mereka dan mendorong anak-anak ke Aliran Sains.
Dalam perbincangan ini, yang lebih saya maksudkan (dengan takrifan sendiri, disini sahaja) tentang :
Aliran Agama ialah yang mempelajari ilmu-ilmu Islam secara formal (Nahu, Saraf, Balaghah, Adab, Arudh, Fiqh Lughah, Tafsir, Ulum Tafsir, Hadith, Ulum Hadis, Aqidah, Fiqh, Usul Fiqh, Qawaid Fiqhiyah dsb) sehingga ke peringkat ijazah di universiti melalui Bahasa Arab terutamanya di Timur Tengah (Negara-negara Arab), dan yang lebih saya maksudkan tentang
Aliran Sains ialah Perubatan, Kejuruteraan, Sains dan seumpamanya termasuk “Aliran Akademik” seperti kata sebahagian orang mencakupi Perakaunan dll.
Dalam hal kedua-dua aliran ini, beberapa realiti masakini (mungkin berubah dimasa depan) didalam negara dan masyarakat kita, khususnya, dan didalam Dakwah ini secara umumnya, yang saya perhatikan iaitu :
Bahasa Arab : Tidak seperti di negara-negara Arab yang berbahasa Arab, mereka yang berada di Aliran Sains hampir tidak mengetahui Bahasa Arab, yang merupakan kunci utama dalam memahami Al-Quran, Al-Hadis, ilmu-ilmu Islam yang asasi, termasuk Fikrah dan Perjuangan Islam itu sendiri. Kalau pun ada kelas dan subjek sampingan Bahasa Arab di sekolah atau diuniversiti, ia tidak sampai atau tidak menyampaikan seseorang kepada tahap Bahasa Arab yang minimum untuk seseorang itu mendapat faedah dari buku-buku dan tokoh-tokoh Arab. Tahap seperti itu juga sering berakhir dengan lupa akan bahasa tersebut sama sekali, seolah-olah tidak pernah mempelajarinya, setelah berlalu tahun-tahun kehidupan yang menyibukkan ini. Pada saya, kepentingan dan peranan Bahasa Arab pada ilmu dan Fikrah Islam adalah seperti Matematik pada ilmu dan dunia Kejuruteraan.
Masadepan Kewangan/Material : Graduan Aliran Agama sering dianaktirikan dalam lapangan perniagaan dibidang mereka oleh ahli-ahli politik, berbanding bidang-bidang lain. Contohnya setiap klinik mesti mempunyai doktor ijazah, syarikat perunding mesti mempunyai jurutera, jurukur, akauntan, peguam berijazah untuk memastikan kepuasan dan keselamatan pelanggan dan masyarakat. Tetapi syarikat pelancungan haji umrah, kursus nikah kahwin, urusan wasiat dan seumpamanya boleh ditubuhkan oleh sesiapa sahaja termasuk askar pencen, tanpa mengira aduan dan mudharat yang telah banyak berlaku kepada masyarakat awam. Kesan lain dari itu, umum masyarakat melihat masadepan kewangan anak-anak mereka adalah kelam jika berada di Aliran Agama, kecuali boleh bertahan hanya jika bekerja disektor awam seperti guru agama dan pentadbiran kerajaan. Ramai ibu bapa yang khuatir survival anak-anak mereka dimasa depan yang pada anggapan mereka semakin mencapai diaspek material.
Tabiat Keperibadian : Dalam amal Dakwah, saya perhatikan Golongan Sains menaruh kepercayaan tinggi kepada Golongan Agama, bersedia dengar dan taat lalu bekerja kuat untuk merealisasikan cita-cita Dakwah dibumi nyata tanpa banyak soal dan berhujah. Pada mereka, kerja dan amal mereka itulah adalah sumbangan mereka untuk Agama ini dalam usia mereka yang berbaki, setelah masa yang panjang dihabiskan hanya mempelajari Sains. Adapun Golongan Agama, gaya pelajaran mereka semasa dialam belajar dahulu, terutama berhujah dalil dan nas, sering terbawa-bawa sehingga ke alam Dakwah. Banyak masa diperuntukkan untuk berhujjah dalam mesyuarat dan pertemuan, sedang masa untuk amal dan menyelia hasil sangat terhad sedang prestasi Musuh-musuh Islam dimedan telah jauh mendahului didepan. Ramai Golongan Agama yang tertarik dengan sikap dan keperibadian yang ditunjukkan oleh Golongan Sains seperti diatas. Dalam masa yang sama ramai Golongan Sains yang keliru bila mendapati Golongan Agama sering menunjukkan atau menunjuk-nunjukkan perbezaan pendapat sesama mereka.
Kepercayaan masyarakat umum di Malaysia terhadap Golongan Agama adalah dan masih tinggi, terutama terhadap mereka yang boleh berbahasa Arab dan mantap dalam mengemukakan hujah dan nas Al-Quran, Al-Hadis dan ungkapan-ungkapan Ulamak, melalui Bahasa Arab. Hakikat ini menjadikan Golongan Agama boleh kedepan dalam masyarakat walaupun dalam kapasiti individu, sedang Golongan Sains, secara umumnya, hanya dapat kedepan dalam masyarakat, secara langsung, dalam isu Islam, dengan kapasiti organisasi. Adapun di Negara-negara Arab, keadaan ada sedikit perbezaan dimana sesiapa dikalangan pendakwah, samada Aliran Agama atau Aliran Sains, dengan kemampuan penyampaian Bahasa Arab dan penggunaan dalil atau syair Arab yang baik, boleh kedepan dan diterima masyarakat. Disini menunjukkan kepentingan Bahasa Arab didalam Islam dimana sahaja seseorang itu berada dan bekerja dilapangan Dakwah.
Asal Risalah Islam yang dibawa oleh Rasulullah saw adalah bermula di sebuah negara Arab dan didalam bahasa Arab. Ditakdirkan pula Kebangkitan Islam di abad ini yang paling kuat dan ketara ialah gerakan dan jemaah Ikhwan Muslimin yang lahir dan mengukuh di negara Arab dan didalam bahasa Arab juga. Oleh itu pengasasnya, Imam Hasan Al-Banna, tokoh-tokohnya dan tulisan-tulisan mereka juga berbahasa Arab yang lahir, dibesarkan dan bertarung didalam suasana Arab. Disebabkan mengikuti Manhaj Perjuangan mana-mana Rasul dan pewaris para Rasul selepas ketiadaan mereka adalah secara Al-Ittibak (ikut betul-betul apa yang telah digariskan) dan bukan Al-Ibtidak (mereka-reka sendiri), maka menghasilkan para Duat dari Aliran Agama di Timur Tengah yang memahami dan hidup dengan Fikrah Islam Ikhwan disana, untuk masyarakat di Malaysia, adalah merupakan suatu yang sangat dharuri (mesti dan tidak dapat tidak), tanpa menafikan kepentingan Duat dari latarbelakang yang lain.
Dari realiti diatas, para ibu bapa membuat perhitungan dan sikap masing-masing iaitu Bahasa Arab, susah senang kehidupan masadepan diaspek material, tabiat peribadi, pandangan masyarakat dan keaslian intipati Dakwah itu sendiri. Ada beberapa realiti lain mengenai Aliran Agama dan Aliran Sains yang perhatikan saya akan sentuh kemudian. Bersambung …
Abdul HalimAbdullah, Bachelor of Engineering (University of Queensland, Australia), Bachelor of Arts in Islamic Studies & Arabic Literature (Al-Azhar University, Cairo), Graduate Diploma in Islamic Studies (Islamic Higher Institute, Zamalek, Cairo

Sumber- Blog inijalanku.wordpress.com -Blog Ustaz Abdul Halim Abdullah, Ketua Biro Dakwah, Ikatan Muslimin Malaysia ISMA.

January 16, 2012

ISMEP 2012 Zon Utara Siri 1





IPOH, 14 Jan 2012- Ikatan Muslimin Malaysia ISMA dengan portfolio Sekretariat Antarabangsa SEKTAR telah menganjurkan sebuah seminar persediaan ke timur tengah iaitu ISMEP 2012 Zon Utara Siri 1(Islamic Studies of Middle East Programme). Seminar yang bertemakan "Panduan Hukama' Bekalan Bakal Ulama'" ini dilangsungkan di Akademi Ikatan Muslimin AIM kampus Ipoh, Perak Darul Ridzuan.

ISMEP 2012 Zon Utara ini rata-rata dapat menarik sejumlah 53 orang peserta banin dan banat, majoriti peserta datang dari Perak. Seawal jam 07. 45 pagi, kelibat para peserta sudah tiba di meja pendaftaran. Seminar dimulakan dengan alunan ayat suci Al-Quran oleh adik Miqdad Bin Fadzlan Shahidi, pelajar Maahad Tahfiz Ikatan Muslimin MATIN.

Dipengerusikan oleh saudara Nik Aziz Bin WAn Ahmad Saferdin, seminar diteruskan dengan ucapan pengarah seminar, Saudara Mohamad Azzam Anwar Bin Mohamad Mathurudi, kemudian seminar dirasmikan oleh Al-Fadhil Ustaz Zolkifli Ismail, pengetua Akademi Ikatan Muslimin merangkap Setiausaha ISMA Cawangan Ipoh, Perak.

Slot-slot dalam seminar ini telah diisi oleh beberapa panelis yang berpengalaman dalam bidang masing-masing, iaitu Ustaz Khairul Anuar Bin Zulkarnain untuk bidang Syariah dan Ustaz Yusri Bin Ismail untuk bidang Usuluddin.


Selepas berhenti rehat untuk makan tengahari dan solat Zohor, seminar diteruskan dengan sesi LDK dan Permainan Pen, Benang dan Botol yang bertemakan Sejarah Ketamadunan Islam. Kemudian, Forum Perkongsian Pengalaman pula telah dilangsungkan, dibarisi oleh panel yang masih segar dari bumi Mesir, iaitu Ustaz Ahmad Tarmizi Bin Zohari dan Ustazah Siti Nur Balqis Bt Ibrahim. Forum yang dimoderatorkan oleh saudara Mohamad Fadhil Yahya ini bertujuan untuk berkongsi sedikit sebanyak pengalaman belajar dan kehidupan panelis sepanjang merantau di negara orang, sebagai bekalan dan panduan kepada para peserta ISMEP yang akan melanjutkan pengajian di timur tengah tidak berapa lama lagi.


Seminar diakhiri dengan sedikit taklimat mengenai SEKTAR dan Pakej Mumtaz dan sesi fotografi serta bacaan doa. Seminar berakhir pada jam 5.30 petang.

"Panduan Hukama' Bekalan Bakal Ulama'"

Disediakan oleh,
Amar Ismat Mohd. Nasir,
Setiausaha ISMEP 2012 Zon Utara,
Sekretariat Antarabangsa ISMA.


Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More