Kelebihan Al-Azhar ialah pada Bahasa Arabnya, ulamaknya, kedudukannya dalam negara Mesir dengan segala kelebihan yang ada pada tabiat negara dan masyarakatnya, lebih-lebih lagi dakwah Ikhwan Muslimin lahir dan bertapak teguh dalam jiwa pendokong-pendokongnya dan dihati masyarakat Mesir amnya, yang sukar didapati dinegara-negara lain, termasuk di Negara-negara Arab. Adapun subjek yang diajar, ia hampir sama dimana-mana universiti lain.
Saban tahun, apabila datang tawaran tempat-tempat pengajian tinggi kepada anak-anak, saya sering menilai diantara harapan anak-anak dan sikap ayah ibu masing-masing terutama mereka yang saya kenali didalam Jalan Dakwah ini. Kekadang saya juga beranggapan sikap ayah dan ibu terhadap jenis pengajian anak-anak mereka merupakan salah satu indikator (petunjuk) yang lebih tepat untuk saya memahami dan menilai ibu bapa itu sendiri dengan cara sebenarnya, melalui pendirian amali mereka, bukan melalui percakapan mereka.
Saya sekeluarga berhari Raya beberapa hari lalu di Pusat Matrikulasi Al-Azhar, Madrasah An-Nahdhah, Bukit Besar, Kota Sarang Semut, Kedah. Disebelah kiri saya, mudir/pengetua madrasah, Ustaz Nasir Othman, yang menerima kemasukkan saya pada tahun 1988 “secara kasihan dan kepercayaan”, sebaik pulang tamat dari Asutralia, walaupun saya tidak mempunyai asas Bahasa Arab sedikitpun. Kesemua buku teks 21 subjek, kertas peperiksaan dan jawapan adalah dalam Bahasa Arab. Alhamdulillah dalam peperiksaan akhir tahun, saya mendapat tempat 2 dari kira-kira 100 pelajar dengan purata markah 92%.
Rumah tempat saya, isteri dan anak sulung, Uswah, 1 tahun, tinggal ketika saya belajar di Madrasah An-Nahdhah (Matrikulasi Al-Azhar) tahun 1989. Ketika itu tidak ada bilik di tingkat bawah, hanya tidur diatas lantai kayu dan berkongsi bilik air awam (air dibawa dalam tin Milo besar dari rumah sendiri). Hidup setahun dalam suasana seperti ini, sebaik pulang dari Australia, banyak mengajar saya erti hidup di Aliran Agama, memahami sebahagian masyarakat yang wujud di Malaysia dan memberi sedikit sebanyak garis panduan kehidupan di masadepan.
Secara umum dan ringkasnya, apa yang saya perhatikan didalam masyarakat Melayu di Malaysia dalam hal ini terbahagi kepada beberapa jenis, dan mereka yang terlibat didalam Dakwah pun, sebagai salah sebahagian dari masyarakat, tidak terlepas dari beberapa jenis ini. Ada 4 jenis yang menarik perhatian saya :
Golongan Pertama berlatarbelakang Aliran Sains, yang mendengar tentang Aliran Agama dari jauh sahaja dan mahukan anak-anak mereka terus didalam Aliran Sains bersesuaian dengan arus perdana dalam negara dan masadepan kawangan yang lebih cerah. Mereka merasakan adalah memadai subjek-subjek agama yang dipelajari di sekolah-sekolah serta ceramah-ceramah agama di masjid dan surau. Pada kumpulan Dakwah, adalah memadai anak-anak mereka mengikuti usrah dan wasilah-wasilah tarbiyah didalam jemaah.
Golongan Kedua berlatarbelakang Aliran Agama, yang mengetahui Aliran Sains sebagai arus perdana dalam masyarakat di Malaysia dan dunia, tetapi mereka mahukan anak-anak mereka terus berada didalam Aliran Agama terutama disebabkan kepentingan Bahasa Arab, keperluan masyarakat, masadepan akhlak yang lebih terjamin dan menyerahkan masadepan kewangan kepada Takdir.
Golongan Ketiga berlatarbelakang Aliran Sains, yang pernah hidup dan melalui sendiri akan kelebihan dan kelemahan aliran berkenaan, lalu mahukan anak-anak mereka berada didalam Aliran Agama, tidak seperti mereka.
Golongan Keempat berlatarbelakang Aliran Agama, yang pernah hidup dan melalui sendiri aliran berkenaan, lalu tidak mahu anak-anak mereka seperti mereka dan mendorong anak-anak ke Aliran Sains.
Dalam perbincangan ini, yang lebih saya maksudkan (dengan takrifan sendiri, disini sahaja) tentang :
Aliran Agama ialah yang mempelajari ilmu-ilmu Islam secara formal (Nahu, Saraf, Balaghah, Adab, Arudh, Fiqh Lughah, Tafsir, Ulum Tafsir, Hadith, Ulum Hadis, Aqidah, Fiqh, Usul Fiqh, Qawaid Fiqhiyah dsb) sehingga ke peringkat ijazah di universiti melalui Bahasa Arab terutamanya di Timur Tengah (Negara-negara Arab), dan yang lebih saya maksudkan tentang
Aliran Sains ialah Perubatan, Kejuruteraan, Sains dan seumpamanya termasuk “Aliran Akademik” seperti kata sebahagian orang mencakupi Perakaunan dll.
Dalam hal kedua-dua aliran ini, beberapa realiti masakini (mungkin berubah dimasa depan) didalam negara dan masyarakat kita, khususnya, dan didalam Dakwah ini secara umumnya, yang saya perhatikan iaitu :
Bahasa Arab : Tidak seperti di negara-negara Arab yang berbahasa Arab, mereka yang berada di Aliran Sains hampir tidak mengetahui Bahasa Arab, yang merupakan kunci utama dalam memahami Al-Quran, Al-Hadis, ilmu-ilmu Islam yang asasi, termasuk Fikrah dan Perjuangan Islam itu sendiri. Kalau pun ada kelas dan subjek sampingan Bahasa Arab di sekolah atau diuniversiti, ia tidak sampai atau tidak menyampaikan seseorang kepada tahap Bahasa Arab yang minimum untuk seseorang itu mendapat faedah dari buku-buku dan tokoh-tokoh Arab. Tahap seperti itu juga sering berakhir dengan lupa akan bahasa tersebut sama sekali, seolah-olah tidak pernah mempelajarinya, setelah berlalu tahun-tahun kehidupan yang menyibukkan ini. Pada saya, kepentingan dan peranan Bahasa Arab pada ilmu dan Fikrah Islam adalah seperti Matematik pada ilmu dan dunia Kejuruteraan.
Masadepan Kewangan/Material : Graduan Aliran Agama sering dianaktirikan dalam lapangan perniagaan dibidang mereka oleh ahli-ahli politik, berbanding bidang-bidang lain. Contohnya setiap klinik mesti mempunyai doktor ijazah, syarikat perunding mesti mempunyai jurutera, jurukur, akauntan, peguam berijazah untuk memastikan kepuasan dan keselamatan pelanggan dan masyarakat. Tetapi syarikat pelancungan haji umrah, kursus nikah kahwin, urusan wasiat dan seumpamanya boleh ditubuhkan oleh sesiapa sahaja termasuk askar pencen, tanpa mengira aduan dan mudharat yang telah banyak berlaku kepada masyarakat awam. Kesan lain dari itu, umum masyarakat melihat masadepan kewangan anak-anak mereka adalah kelam jika berada di Aliran Agama, kecuali boleh bertahan hanya jika bekerja disektor awam seperti guru agama dan pentadbiran kerajaan. Ramai ibu bapa yang khuatir survival anak-anak mereka dimasa depan yang pada anggapan mereka semakin mencapai diaspek material.
Tabiat Keperibadian : Dalam amal Dakwah, saya perhatikan Golongan Sains menaruh kepercayaan tinggi kepada Golongan Agama, bersedia dengar dan taat lalu bekerja kuat untuk merealisasikan cita-cita Dakwah dibumi nyata tanpa banyak soal dan berhujah. Pada mereka, kerja dan amal mereka itulah adalah sumbangan mereka untuk Agama ini dalam usia mereka yang berbaki, setelah masa yang panjang dihabiskan hanya mempelajari Sains. Adapun Golongan Agama, gaya pelajaran mereka semasa dialam belajar dahulu, terutama berhujah dalil dan nas, sering terbawa-bawa sehingga ke alam Dakwah. Banyak masa diperuntukkan untuk berhujjah dalam mesyuarat dan pertemuan, sedang masa untuk amal dan menyelia hasil sangat terhad sedang prestasi Musuh-musuh Islam dimedan telah jauh mendahului didepan. Ramai Golongan Agama yang tertarik dengan sikap dan keperibadian yang ditunjukkan oleh Golongan Sains seperti diatas. Dalam masa yang sama ramai Golongan Sains yang keliru bila mendapati Golongan Agama sering menunjukkan atau menunjuk-nunjukkan perbezaan pendapat sesama mereka.
Kepercayaan masyarakat umum di Malaysia terhadap Golongan Agama adalah dan masih tinggi, terutama terhadap mereka yang boleh berbahasa Arab dan mantap dalam mengemukakan hujah dan nas Al-Quran, Al-Hadis dan ungkapan-ungkapan Ulamak, melalui Bahasa Arab. Hakikat ini menjadikan Golongan Agama boleh kedepan dalam masyarakat walaupun dalam kapasiti individu, sedang Golongan Sains, secara umumnya, hanya dapat kedepan dalam masyarakat, secara langsung, dalam isu Islam, dengan kapasiti organisasi. Adapun di Negara-negara Arab, keadaan ada sedikit perbezaan dimana sesiapa dikalangan pendakwah, samada Aliran Agama atau Aliran Sains, dengan kemampuan penyampaian Bahasa Arab dan penggunaan dalil atau syair Arab yang baik, boleh kedepan dan diterima masyarakat. Disini menunjukkan kepentingan Bahasa Arab didalam Islam dimana sahaja seseorang itu berada dan bekerja dilapangan Dakwah.
Asal Risalah Islam yang dibawa oleh Rasulullah saw adalah bermula di sebuah negara Arab dan didalam bahasa Arab. Ditakdirkan pula Kebangkitan Islam di abad ini yang paling kuat dan ketara ialah gerakan dan jemaah Ikhwan Muslimin yang lahir dan mengukuh di negara Arab dan didalam bahasa Arab juga. Oleh itu pengasasnya, Imam Hasan Al-Banna, tokoh-tokohnya dan tulisan-tulisan mereka juga berbahasa Arab yang lahir, dibesarkan dan bertarung didalam suasana Arab. Disebabkan mengikuti Manhaj Perjuangan mana-mana Rasul dan pewaris para Rasul selepas ketiadaan mereka adalah secara Al-Ittibak (ikut betul-betul apa yang telah digariskan) dan bukan Al-Ibtidak (mereka-reka sendiri), maka menghasilkan para Duat dari Aliran Agama di Timur Tengah yang memahami dan hidup dengan Fikrah Islam Ikhwan disana, untuk masyarakat di Malaysia, adalah merupakan suatu yang sangat dharuri (mesti dan tidak dapat tidak), tanpa menafikan kepentingan Duat dari latarbelakang yang lain.
Dari realiti diatas, para ibu bapa membuat perhitungan dan sikap masing-masing iaitu Bahasa Arab, susah senang kehidupan masadepan diaspek material, tabiat peribadi, pandangan masyarakat dan keaslian intipati Dakwah itu sendiri. Ada beberapa realiti lain mengenai Aliran Agama dan Aliran Sains yang perhatikan saya akan sentuh kemudian. Bersambung …
Abdul HalimAbdullah, Bachelor of Engineering (University of Queensland, Australia), Bachelor of Arts in Islamic Studies & Arabic Literature (Al-Azhar University, Cairo), Graduate Diploma in Islamic Studies (Islamic Higher Institute, Zamalek, Cairo
Sumber- Blog inijalanku.wordpress.com -Blog Ustaz Abdul Halim Abdullah, Ketua Biro Dakwah, Ikatan Muslimin Malaysia ISMA.
0 komen:
Post a Comment