March 25, 2012

ISMEP 2012 Siri 3 berjaya!!!

GOPENG, 24 Mac 2012- Islamic Studies of Middle East Programme 2012 Siri Ketiga anjuran Sekretariat Antarabangsa  ISMA  telah diadakan dengan jayanya semalam. ISMEP 2012 Siri 3 kali ini diadakan di Sungai Jahang, Gopeng, Perak.
ISMEP 202 Siri 3 kali ini hadir dengan tema sama seperti siri-siri yang lalu, iaitu ‘Panduan Hukama’ Bekalan Bakal Ulama’”. Walaupun begitu, pendekatan kali ini berbeza dengan siri lalu, yang lebih berbentuk aktiviti outdoor seperti mandi sungai, BBQ dan riadhah. Pendekatan ini berjaya menarik seramai 40 orang peserta, rata-rata yang datang pada kali ini adalah bekas peserta ISMEP 2012 siri-siri yang lalu. Majoriti peserta adalah dari Akademi Ikatan Muslimin (AIM), SMKA Maahad Al-Mizan, Kuala Kangsar, Kolej Islam Darul Ridzuan (KISDAR) dan SMK Raja Chulan, Ipoh.
Wakil SEKTAR ISMA, Ust Ala'uddin Kamal memberi ucapan perasmian

Seawal jam 7.40 pagi, sudah kelihatan beberapa peserta tiba di meja pendaftaran untuk mendaftarkan diri. Program bermula di AIM Kampus Ipoh. Pada jam 9.20 pagi, majlis yang dipengerusikan oleh Akh Muhammad Hanafi Bin Muidnuddin ini telah dimulakan dengan alunan ayat suci Al-Quran yang dibacakan oleh Saudara Muhammad Uzair Bin Yusof, pelajar AIM sesi 2012. Majlis diteruskan dengan ucapan Akh Muhammad Zabidi Bin Azhar selaku Pengarah ISMEP 3. Akh Zabidi menerangkan serba sedikit objektif dianjurkan program ini dan beberapa hal yang berkaitan.
Kemudian, wakil daripada Sekretariat Antarabangsa ISMA (SEKTAR ISMA), Ust Ala’uddin Kamal telah memberikan sedikit ucapan lantas merasmikan ISMEP 3 yang menggabungkan semua peserta ISMEP siri yang lepas ini tentang tujuan asal peserta melanjutkan pengajian dalam bidang agama, dan memastikan keberadaan peserta di timur tengah selama beberapa tahun itu tidak sia-sia. Al-Fadhil Ust juga berpesan supaya bersiap-sedia dari sudut fizikal dan mental untuk berada di bumi anbiya’ yang sinonim dengan perjuangan.
Majlis diteruskan dengan nyanyian lagu Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) dan tayangan video promosi program pre-departure anjuran SEKTAR ISMA, iaitu Selangkah Ke Bumi Anbiya (SKBA) yang akan diadakan pada hujung April ini. Acara Ice-Breaking yang dikendalikan oleh Akh Ahmad Nawal Bin Mazlan bagi peserta ikhwah dan Ukht Husna Bt. Abdul Halim bagi peserta akhawat  telah berjaya menggamitkan suasana program yang agak suram ketika awalnya.
Peserta ikhwah sedang membakar BBQ
Seterusnya, para peserta telah menaiki bas persiaran menuju ke destinasi program yang seterusnya iaitu di Sungai Jahang, Gopeng, Perak. Walaupun ada beberapa kesulitan yang timbul semasa perjalanan, namun akhirnya semua peserta dapat tiba di destinasi program sekitar jam 12.15 tengahari. Peserta ikhwah telah menyalakan api untuk BBQ, manakala peserta akhawat telah melakukan aktiviti di dalam sungai. Kemudian ada penggiliran berlaku, peserta ikhwah pula beraktiviti di dalam sungai dan peserta akhwat menyediakan makanan.
Sekitar jam 3.30 petang, setelah semua peserta selesai khidmat diri, makan dan menunaikan solat fardhu Zohor berjemaah, peserta disajikan pula dengan sebuah slot perkongsian pengalaman oleh Al-Fadhil Ust Agus Lokman Bin Sulam,  Pengetua SMAR Maahad Al-Islah, Teluk Intan dan Setiausaha Agung Pertubuhan Pendokong Sekolah Agama Rakyat (PPSR) Perak. Ust Agus, graduan Universiti Al-Azhar, Mesir telah berkongsi pengalaman manis dan pahit merantau di bumi anbiya’, di samping beberapa tips berkenaan cara hidup dan belajar di sana.
Di penghujung program, wakil SEKTAR ISMA, Ust Ala’uddin sekali lagi telah memberikan ucapan untuk perincian ringks tentang pakej MUMTAZ di bawah seliaan SEKTAR ISMA dan program SKBA yang akan dilangsungkan pada 27-29 April 2012 di Nur Laman Unggul, Sepang, Selangor. Majlis diakhiri dengan sedikit upacara penyampaian hadiah, sesi fotografi dan bacaan doa oleh Akh Ahmad Nawal.


Jumpa lagi semua, di SKBA nanti!!!

Panduan Hukama’ Bekalam Bakal Ulama’

Disediakan oleh,
Amar Ismat Mohd. Nasir,
Setiausaha ISMEP 2012 Siri 3,
Sekretariat Antarabangsa ISMA.



1 komen:

salam.nk tnya,xblh ke pihak ISMEP anjurkan program utk lepasan spm atau stpm di terengganu?

Post a Comment


Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More